Bantu anak Cina, sekarang dia bantu semua – Zambry

Oleh: Shafira Aziz

MENGIMBAS 15 tahun lalu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir pernah membantu seorang pelajar berbangsa Cina menyambung pelajarannya yang ketika itu berhadapan pelbagai kekangan.

Katanya, Tzai Siew Kein, pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2009 berhadapan masalah kesihatan mendiang bapanya yang menyebabkan dia menghadapi cabaran untuk sambung belajar. 

Sehinggalah berita itu sampai ke pengetahuan Zambry yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

“Terus saya minta untuk diambil tindakan segera bagi Tzai Siew Kein untuk sambung belajar ketika itu dan segala yuran pembayaran pengajian ditanggung sepenuhnya.

“Bagi saya bukanlah warna kulit atau bangsa yang dipandang, tetapi disebabkan beliau memang layak untuk mendapat tempat dan pada masa sama saya juga datang daripada keluarga yang susah, saya tahu bagaimana keperitan yang dirasai,” kongsinya dan telah menjadikan Siew Kein sebagai anak angkatnya.

Kini, Siew Kein telah bergelar seorang doktor dan kembali menyumbang kepada rakyat dan itu sangat menggembirakan Menteri Pendidikan Tinggi itu.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tahun, beliau kini sudah berjaya dan bergelar seorang doktor. Apa yang saya gembira ialah hubungan kami tidak pernah putus dan saya serta isteri turut hadir ke majlis perkahwinan beliau pada tahun 2018. 

“Kini, Tzai Siew Kein pula kembali menyumbang kepada rakyat. Ini yang saya selalu ingatkan kepada diri saya dan lain-lain, bantulah sesiapa sahaja tanpa mengira latar belakang kerana mungkin yang dibantu itu akan membantu orang lain pula satu hari nanti.

“Kepada Tzai Siew Kein, selamat maju jaya. Terus menjadi inspirasi kepada semua orang dan teruskan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat