PETALING JAYA: Muhamad Za’imuddin Azlan yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon,’ kini mendapat sokongan penuh untuk membina kehidupan yang lebih stabil dan bermakna.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin menegaskan komitmen untuk membantu Za’imuddin menjalankan perniagaan secara sah dan teratur, sambil memastikan beliau dapat terus maju selepas tempoh pemulihan.
“Setiap individu, termasuk peniaga kecil seperti Za’imuddin, berhak mencari rezeki dalam keadaan yang selamat dan teratur.
“Saya menyeru pihak berkuasa tempatan untuk mempermudah proses permohonan lesen perniagaan, agar golongan ini dapat berkembang tanpa mengorbankan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dalam kunjungannya ke Hospital Serdang, Azman menyampaikan sumbangan dan sokongan moral kepada Za’imuddin, sambil membawa salam takziah dan simpati daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar Za’imuddin segera sembuh dan diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azman juga menyeru semua pihak untuk menghormati undang-undang demi menjaga keharmonian masyarakat, sambil menggesa pihak berkuasa untuk menangani isu penguatkuasaan dengan penuh hemah dan belas ihsan.
“Pihak berkuasa digesa agar menangani isu penguatkuasaan dengan penuh hemah, profesionalisme dan belas ihsan supaya insiden seumpama ini tidak berulang di masa hadapan,” katanya.