Oleh Nadhirah Akmam
PETALING JAYA: Bantuan tunai tambahan secara ‘one-off’ sebanyak RM100 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini disifatkan masih berada dalam kemampuan fiskal negara.
Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, meskipun perbelanjaan tambahan kerajaan dianggarkan sekitar RM2.8 bilion, pelaksanaannya dilihat selari dengan strategi rasionalisasi subsidi bahan api RON95 yang bakal memberi penjimatan ketara kepada negara dalam jangka masa panjang.
“Langkah ini masih berada dalam ruang fiskal kerajaan kerana pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka mampu menghasilkan penjimatan yang boleh diguna semula untuk membiayai program bantuan seperti STR, SARA, dan pemberian tunai ini,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Khamis.
Tambahnya, strategi ini menggambarkan satu pendekatan perbelanjaan semula yang bertanggungjawab, sekali gus mengekalkan disiplin fiskal tanpa mengorbankan kebajikan rakyat yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.
Afzanizam turut menjelaskan bahawa pemberian tunai tersebut akan memberi kesan langsung terhadap kuasa beli rakyat, terutamanya dalam tempoh ekonomi yang perlahan. Jumlah RM2 bilion yang disalurkan merupakan jumlah yang besar dalam konteks perbelanjaan domestik.
Katanya, rakyat Malaysia mempunyai kecenderungan tinggi untuk berbelanja, dan ini menjadikan bantuan tunai itu sebagai satu bentuk “suntikan langsung” ke dalam ekonomi negara yang boleh merangsang pertumbuhan dalam sektor pengguna.
“Apabila wang masuk ke tangan rakyat, mereka cenderung untuk berbelanja dalam sektor-sektor keperluan harian dan perkhidmatan tempatan. Ini akan menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), terutama pada separuh kedua 2025,” katanya lagi.
Kenyataan yang diberikan Afzanizam sejajar dengan pengumuman khas yang dibuat semalam oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu rakyat memenuhi keperluan harian mereka.
Baca juga:








