Bapa Adham sedia saman pemfitnah di media sosial – Peguam Zaharil

PETALING JAYA: Bapa kepada bayi lelaki yang jenazahnya didakwa ‘disimpan’ oleh sebuah hospital swasta selama 16 hari, memberi amaran kepada netizen supaya menarik balik tuduhan berunsur fitnah di media sosial atau berdepan tindakan saman.

Peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Safwan Roshdy berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial yang menyebarkan fitnah, termasuk dakwaan bahawa anak guamnya tidak berkahwin.

“Kami telah menyemak sijil perkahwinan anak guam saya melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang mengesahkan kesahihan dokumen tersebut.

“Tuduhan bahawa dia tidak berkahwin adalah tidak benar dan melampaui batas,” katanya dalam satu siaran langsung menerusi akaun Facebook Wan Chai Official.

Menurutnya, individu-individu terlibat, termasuk mereka yang membuat siaran langsung di TikTok, diminta memadam semua hantaran dan komen yang bersifat fitnah sebelum jam 12 tengah malam tadi.

Ahmad Zaharil turut mengulas kenyataan yang dikeluarkan pihak hospital berkaitan kes tersebut. Beliau memaklumkan, pihaknya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat sebelum mengambil langkah undang-undang terhadap hospital berkenaan.

Menurutnya, tindakan saman sivil dan jenayah mungkin diambil terhadap hospital tersebut atas dakwaan menyimpan jenazah bayi selama 16 hari, dengan alasan bapa tidak menjelaskan bil rawatan.

“Kami akan menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum sebarang tindakan diambil.

“Pihak hospital tidak boleh bertindak sesuka hati, dan tindakan mereka ini menimbulkan persoalan besar,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat