Bapa Al Fateh Mahu Heret Pengusaha Taska Ke Muka Pengadilan

Oleh: Hanim Nadia

ALOR GAJAH: Bapa kepada bayi lelaki yang maut dalam jagaan pengasuh salah sebuah taska di sini akan menuntut bela atas kematian anaknya itu.

Luah Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim menerusi catatan di Facebooknya, tindakan undang-undang bukan hanya dikenakan kepada pengasuh, tetapi juga kepada pengusaha.

“Saya mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Kehakiman Negara (JKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) supaya memandang serius perkara ini agar hukuman maksimum dikenakan ke atas pengasuh dan pengusaha taska tersebut.

“Saya akan ambil tindakan undang-undang yang maksimum supaya menjadi pengajaran dan iktibar kepada pengasuh dan pengusaha taska yang lain agar mematuhi SOP dan peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Mengulas lanjut, dia juga berharap pihak berkuasa menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Saya tidak mahu ada lagi anak-anak taska yang menjadi mangsa korban seterusnya. Pihak berwajib sila jalankan amanah dan tanggungjawab.

“Pangkat dan jawatan diberi adalah untuk berkhidmat kepada rakyat. Nanti di akhirat kelak, kita semua akan dihisab di hadapan Allah.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin. Mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan dan perjuangan menuntut bela ini. Sama-sama kita bantu satu sama lain,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi 6 September lalu, Al Fateh meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal.

Tindakan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu dilihat menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum polis menahan reman pengasuh berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Lebih menghibakan, bayi berkenaan adalah anak pertama pasangan itu yang baru dikurniakan zuriat setelah 14 tahun usia perkahwinan dan baru lima hari menghantarnya ke taska berkenaan.

Anda Mungkin Berminat