Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros, 60, mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan undang-undang khusus untuk mengatasi semua jenis buli, termasuk fizikal, mental dan emosi.
Beliau menyatakan bahawa tiada undang-undang khusus untuk perbuatan buli di Malaysia pada masa ini.
“Saya syorkan kepada kerajaan supaya buat Akta Buli. Akta kanak-kanak ada, akta seks ada, semua ada. Tetapi akta buli tiada. Akta buli ini termasuk buli fizikal, buli mental, buli di tempat kerja.
“Buatlah undang-undang Akta Buli supaya dapat mencegah daripada sekarang perkara itu,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Isnin.
Cadangan ini timbul susulan dua kes buli terbaru yang dilaporkan berlaku di UPNM sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa.
Kejadian terbaru berlaku pada 2 November, apabila seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM ditekap seterika pada bahagian dada ketika disuruh menggosok baju kerja milik seniornya.
Sehingga kini, seramai 16 individu telah direkod percakapan termasuk pengadu, suspek, pegawai kadet yang lain, staf, jurulatih dan pegawai perubatan.
Pada Ahad, seorang lagi penuntut tahun satu UPNM dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang selepas dipijak oleh seorang penuntut tahun tiga. Kejadian berlaku sekitar pukul 10.45 malam pada 21 Oktober lalu.
Zulkarnain juga mencadangkan tindakan disiplin diperkasakan di peringkat sekolah termasuk menguatkuasa hukuman rotan terhadap pelajar.
“Merotan itu dengan cara mendidik, bukan merotan untuk mencederakan. Kalau buat daripada sekarang, kesan dia 10 tahun akan datang, budak-budak itu akan berdisiplin.
“Dia tidak akan membuli di peringkat institusi pengajian tinggi sebab dia dah kena rotan daripada awal, jadi dia ada kesedaran,” katanya.
Kejadian buli ini bukan kali pertama berlaku di UPNM kerana rakyat pernah digemparkan dengan kes kematian tragis melibatkan Allahyarham Zulfarhan akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap pada 2017.
Pada 23 Julai 2024, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan kerana didapati membunuh Allahyarham Zulfarhan tujuh tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka yang ketika kejadian berusia 21 tahun didakwa melakukan kesalahan itu di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi pada 21 dan 22 Mei 2017.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Allahyarham Zulfarhan kemudian disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.
Baca juga: