Bapa Ziana, Anuar Zain Meninggal Dunia

Oleh: Tyah Helmi

DUNIA hiburan tanah air kehilangan seorang figura penting di sebalik kejayaan dua penyanyi tersohor apabila bapa kepada Ziana Zain dan Anuar Zain, Allahyarham Zin @ Zain Abdullah, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga di Subang Permai, Selangor sekitar pukul 3.30 petang, Selasa.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Anuar Zain Network, yang turut menyatakan bahawa Allahyarham meninggal dunia pada usia 87 tahun.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam sebelum waktu Maghrib.

Allahyarham Zain merupakan seorang pesara polis yang dikenali sebagai seorang bapa yang tegas namun penuh kasih sayang.

Zain Abdullah bukan sekadar seorang bapa, malah pernah bergiat aktif dalam kugiran muzik pasukan beruniform semasa berkhidmat sebagai anggota polis.

Minat dan sokongan beliau terhadap muzik dipercayai menjadi antara faktor penting yang membentuk bakat dan disiplin seni anak-anaknya.

Ziana Zain dan Anuar Zain, masing-masing dikenali sebagai ikon muzik Malaysia, sering menyatakan bahawa sokongan keluarga terutamanya ayah mereka adalah sumber kekuatan dalam menempuh cabaran industri hiburan.

Dalam pelbagai temu bual terdahulu, Ziana pernah menyifatkan ayahnya sebagai insan yang sentiasa mendoakan dan memberi restu dalam setiap langkah kerjayanya.

Anuar pula kerap berkongsi momen peribadi bersama ayahnya termasuk panggilan video semasa konsert yang tidak dapat dihadiri Allahyarham kerana uzur.

Pemergian Allahyarham Zain meninggalkan kesan mendalam bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga kepada peminat yang mengenali beliau sebagai figura penyayang di sebalik dua nama besar industri muzik tanah air.

Anda Mungkin Berminat