KUANTAN: Seramai 30 penumpang terselamat selepas sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan dengan lori treler di Kilometer 159, Jalan Kuantan–Johor Bahru, di atas Jambatan Endau, Rompin, lewat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 malam ketika lori treler berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kuantan ke Johor Bahru, manakala bas ekspres pula dari Johor Bahru menghala ke Kuantan.
“Setibanya di lokasi kejadian, bas terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan, sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler yang sedang bergerak lurus.
“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu serta kesemua penumpang bas berusia antara tujuh hingga 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, semua penumpang bas telah dibawa pulang dengan selamat menggunakan bas lain kira-kira satu jam selepas kejadian.
Kes kini disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Baca juga:








