BAS.MY Rasmi Beroperasi Di Kota Setar, 13 Laluan Rentas 5 PBT

ALOR SETAR: Daerah Kota Setar kini menyertai Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) dengan pelancaran rasmi BAS.MY, melibatkan 13 laluan merentasi lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan memperuntukkan RM78.5 juta bagi tempoh lima tahun atau RM15.7 juta setahun untuk memastikan kelancaran operasi SBST di kawasan ini.

“Kos operasi adalah tetap, jadi lebih ramai rakyat gunakan perkhidmatan ini, lebih rendah kos purata bagi setiap pengguna.

“Jika sambutan menggalakkan, ini akan memudahkan Kementerian Pengangkutan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan,” katanya dalam kenyataan Isnin.

Untuk info, BAS.MY menawarkan pengangkutan moden dengan tambang berpatutan dan perjalanan percuma khas untuk golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pelajar.

Perkhidmatan yang mula beroperasi 1 Jun lalu telah merekodkan kira-kira 30,000 penumpang dalam bulan pertama dan disasar mencapai 40,000 pengguna untuk Julai.

Turut hadir semasa pelancaran ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengarah Urusan Gopi Travel Tours Sdn Bhd, Datuk Gopinathan Balasubramaniam.

“Sebanyak 48 buah bas baharu digunakan, termasuk satu unit khas dikenali sebagai BAS.MY Medik, direka untuk penumpang berkeperluan khas dan mobiliti terhad, kemudahan pembayaran tanpa tunai dan ciri-ciri mesra OKU yang menambah aksesibiliti.

Penumpang juga boleh mendapatkan Kad 30 Hari BAS.MY yang ditawarkan pada RM50 sahaja, membolehkan perjalanan tanpa had sepanjang tempoh sebulan.

Anda Mungkin Berminat