KOTA BHARU: Setelah sekian lama perkhidmatan bas awam di Kelantan dilihat hampir lumpuh, kemunculan semula perkhidmatan Bas.MY yang sinonim dengan jolokan ‘Bas Pink’ kini menghidupkan kembali landskap pengangkutan awam di negeri itu.
Kelantan kini muncul antara negeri dengan kadar penggunaan perkhidmatan BAS.MY yang tinggi, sekali gus mencerminkan keperluan rakyat terhadap sistem pengangkutan awam yang cekap, mampu milik dan mesra pengguna.
Tinjauan Malaysia Bangkit di Thread, rata-rata menunjukkan reaksi positif orang ramai dengan memuji inisiatif Kerajaan Madani menyediakan perkhidmatan bas berkenaan demi kemudahan rakyat marhaen.
Seorang pengguna Thread, ghazalimohdtarmizi, menyifatkan pelaksanaan BAS.MY sebagai bukti kesungguhan kerajaan bekerja demi rakyat.
“Alhamdulillah. MADANI bekerja demi rakyat marhaen. Kekalkan pemerintahan MADANI,” katanya.
Nada yang sama turut disuarakan pengguna lain, yus8yusof, yang menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha menyediakan perkhidmatan bas berkenaan.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Thread, Hazman, berpandangan Anwar melaksanakan tanggungjawabnya kepada Kelantan atas dasar amanah sebagai Perdana Menteri dan pemimpin negara, tanpa mengharapkan sebarang balasan politik.
“PMX berkhidmat untuk Kelantan kerana amanah sebagai Perdana Menteri dan tidak mengharapkan apa-apa daripada Kelantan,” ujarnya.
Terdahulu, Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.MY telah dilancarkan oleh Kerajaan Madani bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam serta memudahkan pergerakan harian rakyat Kelantan, khususnya golongan bekerja, pelajar dan penduduk luar bandar.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata program berkenaan dilaksanakan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyediakan perkhidmatan bas yang cekap, selamat dan mampu milik.
Menurut beliau, kontrak pengendalian diberikan bagi tempoh lima tahun sebelum dibuka semula kepada proses tender, dengan Konsortium E-Mutiara Berhad dilantik sebagai pengendali BAS.MY Kota Bharu.
“BAS.MY Kota Bharu melibatkan 16 laluan merangkumi 11 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan pengoperasian sebanyak 64 buah bas, termasuk bas mini, bas mini lantai rendah mesra Orang Kurang Upaya (OKU) serta bas EV midi,” katanya.
Tambah beliau, kesemua bas dilengkapi ciri keselamatan termasuk kamera litar tertutup (CCTV), paparan LED destinasi serta kemudahan pembayaran tanpa tunai melalui kad debit, kad kredit dan e-dompet.
Dalam pada itu, pas perjalanan tanpa had selama 30 hari BAS.MY ditawarkan pada harga RM30 kepada warganegara Malaysia, manakala Kad Konsesi BAS.MY membolehkan warga emas, OKU, pelajar sekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi menikmati tambang percuma.
Baca juga:








