PASANGAN sensasi yang dikenali sebagai ‘BASS’, gabungan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq, telah mencuri tumpuan apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Couple Goals Terhangat dalam Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) yang berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.
Walaupun hubungan mereka tidak pernah disahkan secara rasmi, kemesraan dan keserasian yang ditampilkan dalam pelbagai kolaborasi komersial telah berjaya menambat hati peminat.
Undian awam membuktikan bahawa aura mereka sebagai pasangan ideal cukup kuat untuk mengatasi nama-nama besar lain dalam industri hiburan tanah air.
Antara pasangan popular yang turut tercalon dalam kategori itu termasuk Nabil Mahir dan Ayda Jebat, Fattah Amin dan Amira Othman, Aidil Aziz dan Fasha Sandha, Keith Foo dan Riena Diana, Dini Schatzmann dan Janna Nick, Syamel dan Ernie Zakri, Syafiq Kyle dan Mimi Lana, Akhyar Rashid dan Eyka Farhana serta Datuk Azraf dan Datin Intan Najuwa.
Namun, BASS berjaya menonjol dengan gaya tersendiri yang dianggap ‘ikonik’ oleh peminat media sosial.
Anugerah Melodi Terhangat 2025 bukan sekadar meraikan populariti tetapi juga memberi pengiktirafan kepada selebriti dan pencipta kandungan yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Acara tahunan itu disiarkan secara langsung di TV3 dan menjadi platform utama untuk menghargai bakat serta personaliti yang mencorakkan dunia hiburan tanah air.
Antara pemenang utama malam itu termasuk Daiyan Trisha yang membawa pulang Ultimate Award, Sophia Albarakbah sebagai Selebriti Feminin Terhangat, Siti Saleha dinobatkan Selebriti Ikon Terhangat, manakala Khai Bahar meraih gelaran Selebriti Muzik Paling Onz.
Cik Epal pula diumumkan sebagai Selebriti Trending Terhangat, Fattah Amin sebagai Selebriti Maskulin Terhangat dan Datuk Rosyam Nor sebagai Selebriti Viral Terhangat.