Batik Jadi Simbol Identiti, Solusi Tenaga Di Pejabat Kerajaan

PETALING JAYA: Pemakaian batik bukan sekadar gaya, malah dilihat sebagai langkah praktikal dalam menjimatkan tenaga apabila suhu penyaman udara di pejabat kerajaan dinaikkan kepada 24℃ hingga 25℃.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, galakan itu bukan perkara remeh, sebaliknya sebahagian daripada usaha Malaysia menangani krisis tenaga global yang berpunca daripada ketegangan di Selat Hormuz.

“Satu daripada usaha ini yang dapat mengukuhkan identiti kita ialah pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan orang ramai secara lebih meluas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, budaya berpakaian rasmi di Malaysia sedang melalui proses perubahan, daripada suit Barat bertali leher yang dianggap simbol status dan disiplin kepada pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tropika.

“Untuk mengatasi ketidakselesaan itu, semua bangunan di Malaysia memasang penyaman udara dengan suhu yang rendah, menjadikan suasana dalam pejabat sangat sejuk,” katanya.

Langkah menaikkan suhu penyaman udara itu selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, yang menggalakkan penjawat awam memakai batik atau pakaian korporat lebih selesa.

Malaysia sendiri telah melalui perubahan berperingkat dalam etika berpakaian rasmi termasuk pemansuhan kewajipan tali leher di Parlimen dan sektor awam.

Chin Tong turut membandingkan dengan negara lain yang memperkenalkan pakaian kebangsaan tanpa tali leher seperti jaket Nehru di India, suit Mao di China, Barong di Filipina dan Iran yang meninggalkan tali leher selepas Revolusi Islam 1979.

Sejak diperkenalkan pada 3 Disember 2021, Hari Batik Malaysia telah mewajibkan pemakaian batik setiap Khamis bermula Ogos 2023, manakala pada hari kerja lain penjawat awam digalakkan mengenakannya.

Beliau turut mengingatkan bahawa krisis tenaga global tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

“Kita perlu mengambil langkah-langkah adaptasi bagi menghadapi cabaran jangka panjang ini.

“Jika memakai batik bererti suhu penyaman udara dinaikkan bagi memulihara serta menjimatkan tenaga, ia patut disokong demi kelestarian iklim yang turut membantu menguruskan permintaan tenaga,” katanya.

Matlamat utama, jelas beliau, adalah membina daya ketahanan tenaga untuk Malaysia.

Anda Mungkin Berminat