Baucar Perlindungan Tenang 3.0: Insurans, Takaful Mampu Milik Penerima STR

PUTRAJAYA: Bermula 1 September, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini berpeluang menikmati perlindungan insurans dan takaful mampu milik melalui program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV3.0).

Inisiatif itu menawarkan baucar bernilai RM30 yang boleh digunakan untuk membiayai sebahagian kos produk perlindungan dengan premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, sebanyak RM60 juta telah diperuntukkan melalui Belanjawan 2025 bagi menjayakan PTV3.0 dengan kerjasama industri insurans dan takaful.

Menurutnya, program itu menyasarkan golongan berpendapatan rendah agar mereka turut menikmati perlindungan kewangan asas.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seperti digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa akses kepada perlindungan kesihatan dan keselamatan adalah hak semua, bukan kemewahan untuk segelintir pihak.

“Keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan untuk kelompok tertentu sahaja, sebaliknya hak semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Selaras dengan pendekatan bersasar, MoF akan melaksanakan protokol pengesahan identiti bagi memastikan hanya penerima STR yang layak boleh menebus manfaat baucar tersebut.

Penerima STR boleh menyemak kelayakan dan soalan lazim melalui portal rasmi www.myptv.my, atau mendapatkan maklumat lanjut daripada ejen, pengedar dan premis penyedia terpilih.

Senarai penuh produk perlindungan pula boleh dirujuk di www.mycoverage.my.

Anda Mungkin Berminat