Bayar zakat kepada Amil lantikan MAIS – Sultan Selangor

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan umat Islam di negeri itu untuk menyempurnakan ibadah zakat masing-masing kepada amil yang dilantik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurut kenyataan di Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin juga menyeru umat Islam di negeri itu memahami dan menghayati isi kandungan Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid hari ini bertajuk “Bayarlah kepada amil yang dilantik di Selangor.”

“Dalam memastikan pengurusan ibadah zakat dilaksanakan dengan baik dan teratur, Allah SWT menyerahkan mandat bagi menguruskan kutipan dan agihan zakat ke atas pihak Ulil Amri atau pemerintah di sesebuah tempat.

“Senada dengan intipati khutbah, di negeri Selangor, MAIS adalah pihak yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal Islam termasuk urusan pelantikan atau pentauliahan amil zakat.

“Walaupun ketaatan kepada Ulil Amri jelas menjadi tuntutan syarak, namun masih lagi terdapat kes ejen yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri tertentu mengutip zakat di negeri Selangor iaitu di luar kawasan yang diperuntukkan.

“Janji pulangan rebat lumayan menyebabkan ejen terbabit menjadi rakus mengutip zakat sehingga merentasi negeri lain walaupun menyalahi Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri berkenaan,” demikian kenyataan itu pada Jumaat.

Khutbah berkenaan juga menyebut, dana zakat di negeri Selangor sangat penting, untuk menyantuni asnaf dan yang diperlukan adalah sebanyak RM1.36 bilion.

“Jika kutipan zakat di Selangor ‘diseludup’ ke tempat lain oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, sudah tentu golongan asnaf yang sepatutnya menikmati bantuan zakat akan dizalimi dan hak mereka juga dinafikan.

“Jika melihat dari sudut hukum syarak, mengutip zakat di luar daripada sempadan negeri adalah satu kesalahan dan zakat yang dibayar kepada ejen yang melanggar dan merentas sempadan Majlis Agama Islam Negeri adalah tidak sah.

“Cuba kita bayangkan, zakat yang dibayar kepada pihak yang tidak bertanggungjawab ini, yang disangka sah dan memenuhi kewajipan berzakat, rupa-rupanya tidak sah dan kewajipan berzakat masih lagi belum tertunai.

“Apakah kesannya pula jika tidak menunaikan zakat? Nasib orang-orang yang tidak membelanjakan harta mereka untuk membayar zakat adalah azab seksa yang amat pedih di akhirat kelak,” menurut khutbah itu.

Anda Mungkin Berminat