PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah peminjam yang melunaskan pinjaman pendidikan, satu perkembangan positif yang membuka lebih banyak ruang pembiayaan kepada pelajar Melayu dan Bumiputera.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyifatkan pencapaian itu sebagai hasil langsung daripada usaha memperkemas tadbir urus dan prosedur kewangan yang telah digerakkan sejak lebih setahun lalu.
“Bagi memastikan keberkesanan, saya menubuhkan pasukan khas di bawah Majlis MARA yang dipengerusikan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim, untuk memantau pelaksanaan inisiatif ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Rabu.
Menurut Asyraf, laporan pencapaian dibentangkan secara bulanan oleh Ketua Pengarah MARA sebagai agenda tetap mesyuarat, sekali gus meningkatkan tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan dana.
“Alhamdulillah, laporan terkini menunjukkan trend menaik peminjam membayar balik pinjaman.
“Semakin ramai yang melunaskan pinjaman, semakin ramai pula anak-anak Melayu dan Bumiputera lain dapat dibela melalui pembiayaan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, usaha itu akan diteruskan secara konsisten bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat, selain menjamin kelangsungan dana pendidikan MARA untuk generasi akan datang.