PETALING JAYA: Seramai 8.6 juta rakyat Malaysia akan mula menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 bermula esok (Selasa), dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat.
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, STR bukan sekadar bantuan tunai tetapi berperanan sebagai suntikan kewangan yang dapat membantu penerima mencapai kebebasan ekonomi selaras dengan prinsip Ekonomi MADANI.
Menurut Kementerian Kewangan, pembayaran akan dilaksanakan secara berperingkat melalui pengkreditan ke akaun bank masing-masing.
Menurutnya, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun, bayaran akan dibuat secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Bagi fasa ini, penerima layak akan menerima sehingga RM650 mengikut kategori masing-masing.
“Jumlah penerima meningkat 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima Fasa 1 Januari lalu, susulan pembukaan permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun,” kata kementerian itu.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan status kelayakan melalui Portal Rasmi STR dan diminta berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.