JOHOR BAHRU: Seorang bayi perempuan berusia satu tahun maut selepas dilanggar bapanya yang mahu mengalihkan kereta keluar dari garaj rumah di Taman Desa Harmoni, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, bapa mangsa berusia 27 tahun menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri pada pukul kira-kira 2.30 pagi.
“Apabila turun dari kenderaan, pemandu mendapati anaknya berada di belakang kereta dalam keadaan berdarah dan tidak sedarkan diri.
“Pemandu tersebut kemudian terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat perlanggaran itu, kata Mohd Sohaimi, bayi berkenaan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di hospital semasa menerima rawatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohd Sohaimi menasihati orang ramai supaya lebih prihatin dan peka terhadap kedudukan anak-anak terutamanya yang masih kecil sebelum memulakan pemanduan.