Bayi lelaki berusia empat bulan ditemui tidak sedarkan diri oleh pengasuhnya, sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada kepala di Nilai, Negeri Sembilan, pada Jumaat.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi, bayi dalam jagaan pengasuh itu sempat dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Nilai, namun tidak memberikan tindak balas ketika dirawat.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim, berkata, polis dihubungi KK Nilai kira-kira 9.30 pagi memaklumkan kematian bayi lelaki yang dibawa seorang wanita yang juga penjaganya dari kawasan Rumah Rakyat Nilai.
“Siasatan awal mendapati pengasuh terbabit memberi bayi itu susu sebelum meletakkannya secara mengiring di atas ‘toto’ (cadar tebal).
“Tidak lama selepas itu penjaga terbabit mendapati susu mengalir keluar dari mulut bayi terbabit,” katanya.
Abdul Malik berkata, penjaga kemudian mengangkat bayi berkenaan dan menepuk belakangnya, sebelum meminta bantuan jiran untuk membawanya ke KK Nilai.
Bagaimanapun, katanya, tiada tindak balas ditunjukkan mangsa ketika diperiksa.
“Bedah siasat dijalankan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan pada kepala.
“Namun, tiada sebarang kesan kecederaan luaran pada tubuh bayi,” tambahnya lapor Berita Harian.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Abdul Malik turut menegaskan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis.
Baca juga: