KUALA LUMPUR: Bazaria Wangsa Maju atau lebih dikenali sebagai Uptown Danau Kota, bakal melalui transformasi besar apabila berpindah ke lokasi tetap yang lebih strategik berhadapan Giant Setapak, berhampiran J-Satine Residensi dan hanya lima minit berjalan kaki ke Setapak Central Mall.
Perpindahan dijangka bermula 15 Julai dan operasi penuh ditetapkan pada Ogos depan.
Ia menandakan era baharu bagi pusat perniagaan malam popular warga kota.
Kompleks baharu empat tingkat itu bukan sekadar perubahan lokasi tetapi ia sebuah langkah reformasi untuk memperkasakan penjaja kecil menerusi kemudahan moden dan persekitaran yang lebih kondusif.
Antara kemudahan utama termasuk 550 unit bazar pelbagai barangan, 92 gerai makan, 62 kedai kering, eskalator dan parkir luas untuk pengunjung, medan selera, gelanggang futsal, surau dan pejabat pengurusan.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Penjaja oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina ekonomi komuniti yang inklusif dan berdaya tahan.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan surat penempatan kepada 400 penjaja berlesen, manakala penjaja tanpa lesen akan melalui proses pemutihan di bawah program Lestari Niaga.
Penjaja yang layak akan diberi ruang berniaga di lokasi baharu dalam suasana lebih teratur dan sah dari segi undang-undang.
Transformasi ini diharapkan dapat mengukuhkan ekosistem peniagaan mikro bandar serta memberikan pengalaman beli-belah yang lebih selesa kepada warga kota.