BBC seru DAP dan parti komponen perkukuh agenda MADANI

KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen dalam Kerajaan MADANI diseru agar terus memperkukuh sokongan terhadap agenda reformasi negara demi menjamin kestabilan politik serta kelangsungan dasar yang telah dirangka.

Seruan itu dibuat susulan pengumuman Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhubung penganjuran kongres khas pada 12 Julai 2026 bagi membincangkan kedudukan pemimpin-pemimpin parti tersebut dalam Kerajaan Persekutuan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Pengerusi Kelab-Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa setiap parti politik mempunyai hak demokrasi untuk mengurus dan membincangkan hal ehwal dalaman masing-masing.

Namun, dalam konteks pentadbiran negara, keutamaan mesti terus berpaksikan tanggungjawab kolektif, kestabilan politik dan kesinambungan dasar.

Menurut beliau, Parlimen ketika ini sedang dan akan terus memberi keutamaan kepada beberapa Rang Undang-Undang (RUU) strategik serta inisiatif reformasi perundangan yang memerlukan sokongan majoriti kukuh serta koordinasi berdisiplin dalam kalangan parti-parti pembentuk kerajaan.

“Reformasi institusi, pengukuhan tata kelola dan pembaharuan struktur pentadbiran bukan agenda jangka pendek, sebaliknya proses berperingkat yang menuntut kesatuan serta keteguhan politik,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu malam.

Beliau turut menekankan komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri dalam mempercepatkan pembentangan serta kelulusan RUU Had Tempoh Jawatan Perdana Menteri sebagai manifestasi jelas kesungguhan kerajaan melaksanakan reformasi secara berinstitusi.

Langkah tersebut, katanya, membuktikan bahawa agenda perubahan diterjemahkan melalui saluran Perlembagaan dan proses Parlimen yang sah, bukan sekadar retorik politik.

“Agenda reformasi yang sedang berjalan adalah hasil rundingan, kesepakatan dan penjajaran antara parti-parti komponen serta institusi negara. Sebarang tindakan yang boleh menimbulkan ketidaktentuan politik berpotensi menjejaskan momentum reformasi serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap kestabilan negara.

“Sehubungan itu, saya menyeru semua rakan komponen dalam Kerajaan MADANI agar terus memperkukuh komitmen bersama, mengekalkan disiplin dan memastikan mandat rakyat dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Keutamaan kita mesti jelas dan konsisten untuk terus memperkukuhkan institusi Parlimen, melaksanakan reformasi secara bertanggungjawab serta memelihara kestabilan politik demi kemaslahatan rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat