BCL Kembali Ke KL Dengan Konsert Romantis 27 September Ini

Oleh Nadhirah Akmam

KUALA LUMPUR: Aura romantik bakal memenuhi Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) apabila penyanyi ikonik Indonesia, Bunga Citra Lestari (BCL), kembali menyapa peminat Malaysia melalui konsert bertema ‘BCL: Eternal Love – Timeless Romance’ pada 27 September depan.

Dianjurkan oleh Pulse Project Asia, konsert ini menjanjikan pengalaman muzik yang mendalam dan penuh emosi, menghidupkan semula lagu-lagu cinta BCL yang telah menjadi pengiring hidup ramai seperti Cinta Sejati, Karena Ku Cinta Kau dan 12 Tahun Terindah.

“Penonton akan dibawa menyusuri perjalanan muzik BCL menerusi lagu-lagu cinta abadi dan penceritaan peribadi dengan produksi bertaraf dunia,” kata Muhammad Anuar Zaini, wakil penganjur Pulse Project Asia.

Menurut Anuar lagi, kehangatan sokongan peminat Malaysia menjadikan KL seolah-olah ‘rumah kedua’ buat BCL.

Bunga Citra Lestari (BCL) menyifatkan konsert ini sebagai wadah menzahirkan rasa cinta secara langsung kepada peminat setianya yang sentiasa menyokong perjalanan seni beliau.

Kehadiran Jaclyn Victor dan maestro violin Dennis Lau sebagai artis jemputan dijangka menambah dimensi eksklusif dan memukau pada malam istimewa itu.

Tiket boleh didapati melalui Ticket2U bermula dari RM259 dan peminat berpeluang menikmati diskaun 10 peratus untuk pembelian awal.

Pemegang tiket eksklusif juga bakal menikmati sesi ‘Meet & Greet’ serta barangan istimewa bertandatangan BCL.

Penganjur mengingatkan peminat agar mendapatkan tiket hanya melalui saluran rasmi bagi mengelakkan risiko penipuan.

Konsert ini dijangka menjadi antara acara paling romantik dan dinanti dalam kalendar hiburan 2025.

Anda Mungkin Berminat