Oleh: Tyah Helmi
PELAKSANAAN dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam yang dijadualkan hari ini didakwa tidak memberi kesan signifikan terhadap kesesakan lalu lintas yang berterusan di ibu negara.
Menerusi video hantaran di platform Threads oleh pengguna Nawalmohd Bakri, dia menunjukkan keadaan jalan raya di kawasannya kekal sesak dan makin teruk lantas mempersoalkan pelaksanaan BDR.
“Aku salah hari ke apa eh, Bukan harini dah boleh BDR ke? Kenapa makin teruk sesak di jalan raya ini?.
“Kalau macam ni, 10 kapal minyak sampai Malaysia pun tak cukup. Hahahaha, rancak sana sini sesak nak masuk Putrajaya pun sesak eh,” katanya yang tinggal di Denai Alam dan bekerja di Kuala Lumpur.
Selain itu, beberapa pengguna lain turut mengutarakan pendapat yang mana tidak semua rakyat Malaysia mendapat kelayakan untuk melaksanakan BDR.
“Tidak semua penjawat awam dapat BDR, siapa yang jarak rumahnya lebih 30 kilometer sahaja yang dapat, adakah benar kawan penjawat awam saya?” katanya.
Malah, ada juga yang berasa bingung kerana situasi kesesakan yang tetap sama walaupun mereka keluar lewat.
“Hahaha sama pening juga, keluar lambat ingatka tak sesak sekali teruk ujar seorang lagi pengguna,
Difahamkan, pelaksanaan BDR untuk pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, dan semua ibu negeri yang jarak perjalanan sehala melebihi lapan kilometer, dijangka memberi kelonggaran kepada golongan berkenaan. Dasar ini mula diperkenalkan pada tahun 2020 dan 2021 sebagai langkah kawalan semasa pandemik COVID-19.
Namun, realiti di lapangan menunjukkan bahawa kesesakan lalu lintas masih menjadi isu utama bagi kebanyakan penduduk.
Walaupun BDR bertujuan untuk mengurangkan beban kesesakan dan meningkatkan kecekapan kerja dalam tempoh mencabar ini, masih ada yang meragui keberkesanannya, terutama di kalangan mereka yang tidak layak untuk bekerja dari rumah atau yang tinggal lebih dekat dengan pejabat.
Pelaksanaan BDR dijangka akan terus diberi perhatian dalam minggu-minggu mendatang untuk menilai kesannya terhadap produktiviti dan keadaan lalu lintas di seluruh negara.
Baca juga:








