BDR Bersasar Dikuatkuasa, Penjawat Awam Jarak Lebih 8KM Layak

PUTRAJAYA: Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bertugas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri, dengan jarak perjalanan sehala ke pejabat melebihi lapan kilometer, layak melaksanakan dasar Bekerja dari Rumah (BDR) bermula 15 April ini.

Ketetapan tersebut dimaklumkan menerusi surat edaran bertajuk “Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah bagi Perkhidmatan Awam berikutan Konflik Asia Barat” yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pada Khamis.

Menurut edaran berkenaan, pelaksanaan BDR adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR.4.1.2 yang memperincikan dasar, syarat serta peraturan berkaitan.

Langkah itu dilaksanakan secara berperingkat sebagai strategi kerajaan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi potensi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, beberapa sektor dikecualikan daripada pelaksanaan BDR, termasuk perkhidmatan keselamatan dan pertahanan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) serta Jabatan Imigresen Malaysia.

Turut dikecualikan ialah sektor kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kritikal, melibatkan pegawai perubatan, farmasi, pergigian dan jururawat, selain warga pendidikan yang terlibat secara langsung dengan sesi persekolahan.

Bagi sektor lain yang layak, Ketua Jabatan diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti perkhidmatan kritikal serta menyusun jadual BDR mengikut keperluan operasi. Lokasi bekerja semasa BDR pula ditetapkan di alamat kediaman yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS).

Pegawai juga diwajibkan merekod kehadiran melalui sistem SPOT-Me secara elektronik, lengkap dengan fungsi geolokasi setiap jam, manakala Ketua Jabatan akan memantau kehadiran serta prestasi kerja secara berkala.

Pelaksanaan hari BDR ditentukan mengikut negeri dan hari kelepasan mingguan (HKM). Negeri yang bercuti hujung minggu pada Ahad akan melaksanakan BDR dari Selasa hingga Khamis, manakala negeri yang bercuti pada Jumaat pula dari Isnin hingga Rabu.

Surat edaran tersebut turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun serta Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pelaksanaan yang selaras dengan arahan kerajaan.

Sebarang pertanyaan berkaitan sistem SPOT-Me boleh dirujuk kepada pegawai Jabatan Digital Negara yang berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat