Beberapa Negeri Bantah PBT Di Bawah Bidang Kuasa Ombudsman Malaysia – Azalina

PARLIMEN | Cadangan untuk memperluas bidang kuasa Ombudsman Malaysia kepada agensi peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima tentangan daripada beberapa kerajaan negeri, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, cadangan asal penubuhan badan bebas itu hanya melibatkan agensi di peringkat Persekutuan.

Namun, dalam proses perangkaan dasar, katanya, kerajaan turut meneliti kemungkinan peluasan kuasa ke peringkat negeri.

“Dalam proses perangkaan dasar, kita turut teliti kemungkinan peluasan bidang kuasa kepada agensi peringkat negeri termasuk PBT.

“Namun, ia tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan kerajaan negeri.

“Bantahan timbul kerana ada negeri yang sudah mempunyai ombudsman sendiri, ada yang dalam proses menubuhkannya, manakala ada negeri tidak mahu langsung campur tangan walaupun dari segi pemantauan,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Azalina menjawab soalan tambahan daripada Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang bertanya sama ada Ombudsman Malaysia akan turut mengendalikan aduan di luar bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, termasuk PBT di bawah pentadbiran negeri.

Ombudsman Malaysia merupakan badan bebas yang berperanan menguruskan aduan awam secara tidak memihak khususnya terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Menurut Azalina, sesi libat urus mengenai cadangan penubuhan Ombudsman Malaysia telah dijalankan sejak Julai tahun lalu, melibatkan pandangan pelbagai pihak termasuk negeri yang memiliki Akta Kebebasan Maklumat seperti Pulau Pinang dan Selangor.

Beliau menyatakan harapan agar cadangan tersebut dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Oktober ini.

Menjawab soalan tambahan daripada Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN–Besut), Azalina turut memaklumkan bahawa Ombudsman Malaysia akan mengambil alih fungsi Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).

“Peranan kita adalah menggabungkan BPA dan SIAP, memantau salah tadbir, menangani salah laku pegawai penguat kuasa serta melaksanakan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat