Bekalan air mencukupi untuk aktiviti tanam padi – MADA

KEDAH: Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bahawa bekalan air pengairan adalah mencukupi dan tidak menjejaskan aktiviti penanaman padi pada musim 1/2024 di Kedah.

Menerusi satu hantaran video di Facebook MADA, Pengerusinya, Datuk Dr Ismail Salleh menyeru agar orang ramai tidak perlu gusar kerana keseluruhan takungan air di ketiga-tiga empangan di bawah yang terletak di negeri jelapang padi itu masih mencukupi.

“Ianya masih mencukupi bagi tujuan pengairan penanaman padi musim 1/2024 serta keperluan domestik dan industri.

“Kapasiti takungan adalah sebanyak 41.97 peratus bersamaan 513,306 ekar kaki dan sebanyak 3,100 kaki padu per saat dilepaskan terus ke Sungai Pedu,” katanya.

Beliau berkata setakat hari ini, status keseluruhan kedudukan semasa takungan air di tiga empangan itu ialah 41.97 peratus merangkumi Empangan Pedu (37.02 peratus), Empangan Muda (7.44 peratus) dan Empangan Ahning (80.76 peratus).

Ismail turut menasihati para peladang agar menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan tidak berlaku pembaziran air.

Anda Mungkin Berminat