KOTA TINGGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa bekalan petrol dan diesel di Malaysia kekal stabil ketika ini walaupun berdepan tekanan geopolitik global.
Namun, beliau mengingatkan risiko gangguan dijangka meningkat sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.
Berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Warga Peneroka Felda di Felda Semenchu, Anwar berkata, kesan konflik berkenaan boleh dirasai di seluruh negara dalam tempoh satu hingga dua bulan jika keadaan tidak berubah.
“Percayalah, jika keadaan ini berterusan satu atau dua bulan lagi, kesan perang ini akan sampai ke seluruh kampung di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan ketika ini masih mampu menyerap kenaikan harga minyak global melalui pemberian subsidi bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup.
Namun katanya, langkah itu tidak mampan dalam jangka panjang sekiranya konflik berlarutan kerana melibatkan perbelanjaan yang sangat besar.
“Kerajaan kini membelanjakan hampir RM6 bilion sebulan bagi subsidi petrol, diesel dan bantuan berkaitan.
“Dan jumlah itu boleh mencecah RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan jika keadaan berterusan,” katanya.
Anwar turut menekankan bahawa walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, kira-kira 50 peratus bekalan masih perlu diimport, menjadikan negara terdedah kepada turun naik harga global.
Bagaimanapun, beliau berkata, pendirian tegas Malaysia dalam isu antarabangsa membantu memastikan laluan kapal negara di Selat Hormuz kekal lancar, sekali gus menjamin rantaian bekalan tenaga tidak terjejas.
Menurutnya, beberapa negara lain telah terjejas teruk sehingga terpaksa menutup ratusan stesen minyak atau mengehadkan pembelian bahan api.
“Malaysia masih bertahan dan belum sampai ke tahap negara lain yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak,” katanya sambil menegaskan kerajaan akan terus memantau situasi dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan kekal stabil.








