Bekalan barangan Aidilfitri mencukupi, elak pembelian panik – Armizan

AMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memberi jaminan bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri adalah mencukupi dan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata kementerian telah membuat persiapan awal termasuk memantau bekalan bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan selain menjalin kerjasama dengan pemborong, pengeluar dan peruncit.

Beliau berkata, KPDN akan terus memantau situasi bekalan bagi memastikan keperluan pengguna mencukupi sepanjang musim perayaan.

“Saya ingin memberi jaminan kepada orang ramai supaya tidak bimbang atau melakukan pembelian panik menjelang perayaan ini.

“Bekalan bukan sahaja mencukupi untuk sambutan 1 Syawal, malah mencukupi walaupun majlis rumah terbuka diadakan sepanjang tempoh perayaan kerana bekalan berkenaan sudah berada dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya serta Program Jualan Rahmah MADANI Aidilfitri di sini, hari ini.

Armizan berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan kesan ketegangan konflik di Asia Barat terhadap bekalan barangan di negara ini.

Menurutnya, berdasarkan pembentangan dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), bekalan beberapa barangan utama ketika ini berada pada tahap lebihan.

Dalam masa sama, beliau berkata KPDN akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bagi mengenal pasti barangan yang berpotensi terjejas sekiranya konflik berlarutan.

“Langkah itu termasuk mencari sumber bekalan alternatif sekiranya berlaku gangguan eksport dari negara tertentu,” katanya.

Mengulas peningkatan harga sayur-sayuran akibat faktor cuaca, Armizan berkata beberapa jenis sayur utama telah dimasukkan dalam senarai barangan di bawah SHMMP Aidilfitri.

Beliau berkata kerajaan akan melaksanakan SHMMP Aidilfitri 2026 selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac ini bagi memastikan harga barangan keperluan kekal terkawal sepanjang musim perayaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat