Bekalan Telur Ayam Stabil, Pengeluaran Melebihi Permintaan – KPKM

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengesahkan bahawa bekalan telur ayam di seluruh negara kini berada dalam keadaan stabil dengan pengeluaran harian melebihi permintaan domestik sejak 1 Ogos 2025.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, KPKM memaklumkan bahawa purata pengeluaran telur ayam kini mencecah 30 juta biji sehari berbanding permintaan domestik sebanyak 28 juta biji.

Menueutnya, perkembangan ini dilihat sebagai hasil daripada penstrukturan semula subsidi bersasar kepada pengeluar telur yang mula dilaksanakan bulan ini.

“Bekalan telur ayam stabil, pengeluaran kini melebihi permintaan domestik,” menurut kenyataan itu.

KPKM menjelaskan bahawa langkah penstrukturan subsidi membolehkan pemain industri menampung kos pengeluaran berdasarkan data jualan semasa, sekali gus mengekalkan kestabilan harga di pasaran tanpa menjejaskan bekalan nasional.

Katanya, telur gred A, B dan C kekal dijual pada harga ladang, manakala telur gred khas tertakluk kepada harga kawalan maksimum yang ditetapkan kerajaan.

Di bawah inisiatif Agro MADANI, subsidi diteruskan bagi mengurangkan kos operasi pengeluar bersasar.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan agar harga telur kekal terkawal dan tidak membebankan pengguna.

KPKM berkata, pihaknya akan terus memantau pengeluaran tempatan dan menjangkakan kestabilan bekalan ini akan berterusan dalam tempoh mendatang.

Anda Mungkin Berminat