PARLIMEN | Pengurangan subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada 5 sen sebiji tidak menjejaskan bekalan di pasaran, susulan perkembangan positif dalam industri termasuk penurunan kos makanan ayam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah penyasaran semula subsidi yang berkuat kuasa dari 1 Mei hingga 31 Julai ini merupakan fasa awal sebelum subsidi ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025.
“Kesan daripada pengurangan dan penamatan subsidi ini tidak dijangka menjejaskan kestabilan bekalan telur ayam kerana industri menunjukkan trend positif, termasuk penurunan kos makanan ayam,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kerajaan dapat menjimatkan RM45 juta sebulan, iaitu RM135 juta sepanjang tiga bulan pelaksanaan, dan penjimatan itu akan disalurkan kepada program yang memberi manfaat terus kepada rakyat.
“Penjimatan ini akan dimanfaatkan semula untuk inisiatif yang lebih bersasar dan memberi impak kepada kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali (BN–Pekan) berhubung kesan pengurangan subsidi terhadap pasaran telur serta impak kepada kos sara hidup secara keseluruhan.
Setakat Julai, pengeluaran telur ayam mencecah 1.75 bilion biji sebulan, manakala keperluan domestik sekitar 1.06 bilion biji, menunjukkan lebihan sebanyak 690 juta biji. Lebihan ini membuka ruang kepada pasaran eksport dan membantu mengekalkan keseimbangan pasaran.
“Kita akan terus pantau bekalan dan harga telur ayam bersama KPDN bagi mengelakkan sebarang ketirisan atau pencatutan yang boleh membebankan pengguna,” katanya lagi.
Baca juga: