Bekalan Ternakan Aidiladha Mencukupi, Sedia Tampung Permintaan – Menteri

PETALING JAYA: Malaysia dijamin mempunyai bekalan daging ternakan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), jumlah keseluruhan bekalan lembu dan kerbau sehingga Mac 2025 ialah 38,804 ekor.

“Manakala kambing dan bebiri sebanyak 30,167 ekor dan angka menunjukkan melebihi anggaran permintaan.

“Mengikut statistik DVS, stok bekalan lembu/kerbau tempatan sehingga Mac 2025 adalah 35,581 ekor manakala bekalan yang diimport sebanyak 3,223 ekor,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Mohamad Sabu, sebanyak 27 rumah sembelih milik DVS serta 40 rumah sembelih swasta telah bersiap sedia untuk operasi penyembelihan korban.

Katanya lagi, bagi penyembelihan di luar premis rasmi seperti di masjid atau kawasan perumahan, permohonan permit diperlukan.

“Dalam usaha memastikan proses berjalan lancar, orang ramai disarankan merujuk Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dikeluarkan oleh DVS,” katanya.

Anda Mungkin Berminat