KANGAR: Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Perlis yang digugurkan keahlian parti telah memfailkan saman pemula terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi yang mereka wakili.
Bekas ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan pengosongan tiga kerusi DUN itu sebagai di luar aturan, terbatal, tidak sah serta defektif.
Ketiga-tiga mereka diberhentikan keahlian dalam PAS pada 24 Disember lalu, yang kemudiannya membawa kepada pengumuman Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan, pada 25 Disember bahawa kerusi DUN berkenaan perlu dikosongkan.
Dalam satu kenyataan media bersama hari ini, mereka menegaskan keputusan Speaker tersebut dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Kami menghormati pandangan Speaker, namun berpendapat pengisytiharan kekosongan kerusi berkenaan adalah terkhilaf dan dibuat di luar aturan yang sewajarnya.
“Sehubungan itu, kami memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi mendapatkan perintah mahkamah membatalkan pengisytiharan tersebut,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut mereka, tindakan undang-undang tersebut diambil demi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, memandangkan kekosongan kerusi selama hampir dua tahun sebelum pilihan raya negeri akan datang boleh menjejaskan hak pengundi di kawasan terbabit.
Selain pembatalan pengisytiharan kekosongan, mereka turut memohon apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Saman itu difailkan menerusi peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
Sementara itu, Rus’sele ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga bekas ADUN terbabit mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang dan beliau hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai Speaker mengikut peruntukan sedia ada.
“Itu hak mereka untuk memfailkan saman. Jika ada ruang untuk perkara ini dinilai dari sudut undang-undang, saya tidak mempunyai sebarang halangan.
“Sekiranya mereka menang sekalipun, tiada isu kerana saya hanya menjalankan tugas sebagai Speaker,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang notis atau writ saman berhubung tindakan berkenaan.
Baca juga:








