PETALING JAYA: Malaysia kehilangan seorang tokoh besar dalam dunia kehakiman apabila Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, disahkan meninggal dunia pada usia 84 tahun pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan rasmi keluarga Allahyarham.
Bagaimanapun, punca kematian belum didedahkan.
Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan dijangka dikebumikan selepas solat Asar.
Allahyarham dikenang sebagai figura penting yang banyak menyumbang kepada sistem kehakiman negara khususnya dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus badan kehakiman sepanjang kerjayanya.
Dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, Abdul Hamid mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan pelajaran di St. Xavier’s Institution.
Beliau kemudian memperoleh ijazah perundangan dari Universiti Singapura pada tahun 1969.
Kerjaya beliau bermula sebagai majistret di Kangar, Perlis dan Tapah, Perak, sebelum menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Penolong Pengarah Biro Bantuan Guaman, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi dan Ketua Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara.
Abdul Hamid dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 Mei 1990, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan pada 1 September 2000 dan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 1 Ogos 2003.
Puncak kerjayanya adalah apabila beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia.
Pemergian Tun Abdul Hamid Mohamad meninggalkan legasi besar dalam dunia perundangan negara.
Sumbangan beliau dalam memperkukuh integriti badan kehakiman akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah Malaysia.







