Bekas menteri disyaki terima rasuah RM5 juta, Lamborgini, SPRM buka kertas siasatan

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seorang bekas menteri disyaki telah menerima rasuah kira-kira RM5 juta beserta kereta mewah iaitu Lamborghini berkait projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, pihaknya telah memanggil bekas menteri itu untuk hadir merakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya dan siasatan diperingkat mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.

Menurut sumber, berdasarkan maklumat diterima SPRM, bekas Menteri berkenaan telah menerima wang kira-kira RM5 juta berkenaan daripada satu syarikat pemaju manakala kereta mewah berjenama Lamborghini pula diterima daripada satu syarikat pembuat papan iklan.

“Bekas Menteri berkenaan telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini bagi dirakam keterangan dan siasatan sedang diperingkat untuk mengesan punca pembayaran kereta mewah berkenaan.

“Bagi kes tanah pula, siasatan awal mendapati tanah-tanah yang sebelum ini digazetkan untuk pembinaan surau telah dipindah milik kepada satu syarikat proksi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut sumber itu lagi, seramai 16 saksi yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan pemlik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu kertas siasatan terhadap penerimaan rasuah melibatkan bekas Menteri berkenaan telah dibuka di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Katanya, buat masa ini tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan oleh pihaknya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat