MOSCOW: Bekas Menteri Pengangkutan Rusia, Roman Starovoit, dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat bunuh diri hanya beberapa jam selepas beliau digugurkan daripada jawatan oleh Presiden Vladimir Putin.
Menurut kenyataan rasmi oleh pihak penyiasat, “Starovoit ditemui mati bersama sepucuk pistol yang merupakan hadiah rasmi pemberian Kremlin.”
Pemecatan Starovoit diumumkan pada pagi Isnin menerusi siaran rasmi di laman web Kremlin, sementara timbalannya, Andrey Nikitin, dilantik sebagai pemangku menteri.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, ketika ditanya mengenai sebab pemecatan, menafikan ia berpunca daripada ‘kehilangan kepercayaan’, namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Jawatankuasa Penyiasatan Rusia memaklumkan bahawa mayat Starovoit ditemui dalam sebuah kenderaan di kawasan pinggir bandar Moscow, Odintsovo dengan kesan tembakan pada badannya.
Siasatan sedang dijalankan dan pihak berkuasa percaya insiden itu adalah kes bunuh diri.
Starovoit telah dilantik sebagai Menteri Pengangkutan pada Mei 2024, selepas memegang jawatan Gabenor wilayah Kursk di selatan Rusia.
Media tempatan melaporkan bahawa beliau sedang disiasat berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berkaitan projek pembinaan kubu pertahanan di wilayah berkenaan.