KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas dua pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM552,481.90, selain masing-masing satu pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM3 juta serta menerima RM200,000 sejak tahun lalu.
Mohd Nizam, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham pertuduhan, tidak mengaku bersalah Yang Arif,” katanya sambil berdiri di kandang tertuduh dengan memakai kot hitam dan bertongkat.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang ketika itu merupakan pegawai badan awam selaku Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif TKAT, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan bagi kepentingan diri sendiri masing-masing berjumlah RM267,481.90 dan RM285,000.
Dia didakwa melantik lima syarikat bagi membekalkan kain pelikat, kain batik, peralatan ‘multifunctional folding pliers’, beg galas dan tuala mandi untuk bungkusan barangan Hari Raya tahun 2025 kepada TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kementah, di sini pada 24 Jun 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah apabila menyalahgunakan wang berjumlah RM3 juta yang diamanahkan kepadanya dalam akaun bank milik TKAT.
Dia didakwa membuat pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT ketika masih memegang jawatan sama, di lokasi yang sama pada 4 Oktober 2024.
Baca juga:








