KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dr Marzuki Mohamad mempertahankan keputusan bekas Perdana Menteri itu menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan keputusan bersendirian sebaliknya selaras dengan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sejak awal menetapkan pendirian untuk tidak bekerjasama dengan DAP.
“Tidak salah Tan Sri Muhyiddin tidak merujuk kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kerana beliau bertindak mengikut dasar parti,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.
Marzuki menjelaskan, Muhyiddin juga tidak keseorangan ketika membuat keputusan itu kerana ditemani Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.
“Dasar Pas juga jelas tidak bekerjasama dengan DAP. Maka keputusan menolak cadangan tersebut adalah hasil pendirian bersama dua parti utama dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya.
Beliau menegaskan keputusan itu terbukti tepat apabila PN mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, selain mencatat kemaraan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Sebahagian besar pengundi Melayu, termasuk penyokong UMNO, beralih menyokong PN kerana mereka tidak bersetuju dengan langkah UMNO bekerjasama dengan DAP,” jelasnya.
Marzuki menyifatkan pendirian Muhyiddin dan Abdul Hadi sebagai satu ijtihad politik yang betul, berasaskan prinsip dan bukannya kerana keinginan untuk berkuasa.
Dalam masa sama, beliau menyindir segelintir pihak dalam politik yang menurutnya terlalu ghairah mengejar kuasa sehingga sanggup mengetepikan dasar parti.
“Mereka ini pengikut ajaran Machiavelli bagi mereka kuasa adalah segala-galanya, dan betul atau salah cara tidak lagi penting,” katanya.
Marzuki turut mengingatkan bahawa landskap politik negara telah banyak berubah dan menjadi kerajaan tidak lagi menjamin kemenangan dalam pilihan raya.
“Jadi jangan gelojoh hendak berkuasa,” katanya.
Untuk rekod, Ahli Parlimen Machang yang digantung keahlian dalam Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membangkitkan kembali rasa kecewa dan mendakwa Muhyiddin bertindak sendirian dalam menolak Kerajaan Perpaduan.








