Seorang bekas penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat binaan pada tahun 2020.
Tertuduh, Mohd Hafiz Ahmad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam didakwa menerima wang RM2,300 dengan tiada balasan daripada seorang lelaki berusia 49 tahun.
Syarikat pembinaan lelaki berkenaan dikatakan mempunyai hubungan dengan kerja rasmi milik Mohd Hafiz.
Tertuduh yang kini bertugas di bahagian sumber manusia Kementerian Pendidikan didakwa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada tarikh yang berbeza iaitu 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Zahariman turut meminta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan sebagai syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 selain membantah cadangan menyerahkan pasport.
Namun, Zahariman berkata jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah dan ia tidak bersifat menghukum atau berlebihan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azura menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Azura turut menetapkan sebutan semula kes dan penyerahan dokumen pada 6 Mac depan.
Baca juga: