Bekas penyanyi rapper jadi calon Perdana Menteri Nepal

Oleh: Tyah Helmi

KATHMANDU: Dunia politik di negara Nepal semakin hangat apabila bekas penyanyi ‘rapper’ yang kini menjadi Datuk Bandar Kathmandu, Balendra Shah mengumumkan akan bertanding calon Perdana Menteri menjelang pilihan raya Parlimen negara itu pada 5 Mac depan.

Pegawai Parti Rastriya Swatantra (RSP) memaklumkan, menerusi perjanjian Balendra akan menjadi calon Perdana Menteri sekiranya pihaknya memenangi pilihan raya itu.

Manakala, Presiden parti itu iaitu, Rabi Lamichhane, 48 kekal sebagai ketua parti.

Reuters melaporkan tinjauan sekitar Kathmandu mendapati ramai anak muda berkumpul dan berbincang tentang langkah terbaharu, yang dianggap mencabar dominasi parti lama yang menguasai politik negara itu sejak lebih tiga dekad lalu.

Kedua-dua tokoh itu berikrar untuk menangani tuntutan yang dibangkitkan dalam protes belia atau “Gen Z” pada September lalu, yang tercetus akibat dakwaan rasuah berleluasa.

Tragedi protes yang dikenali sebagai “Gen Z” itu dikatakan telah meragut 77 nyawa sehingga membawa kepada peletakan jawatan Perdana Menteri, K.P. Sharma Oli.

Suruhanjaya Pilihan Raya Nepal memaklumkan hampir 19 juta daripada 30 juta penduduk negara itu layak mengundi, dengan hampir satu juta pengundi baharu iaitu kebanyakannya merupakan anak muda didaftarkan selepas protes tersebut.

Balen menjadi tumpuan selepas protes September dan dianggap sebagai antara tokoh yang mempengaruhi gerakan belia, selain terlibat membantu pembentukan kerajaan sementara yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Sushila Karki, bagi menguruskan pilihan raya.

Namun, ada pihak yang mempersoalkan peranannya semasa protes kerana beliau jarang muncul di khalayak dan lebih banyak menyampaikan mesej melalui media sosial.

Sejak lebih 30 tahun lalu, Parti Komunis Nepal (UML) yang dipimpin Oli dan Parti Kongres Nepal sering bergilir menerajui kerajaan.

Kali ini, pimpinan yang disertai Balen dilihat sebagai cabaran paling serius terhadap pengaruh dua parti utama itu.

Lamichhane pula menubuhkan RSP menjelang pilihan raya 2022 dan dikenali menerusi kempen antirasuah ketika menjadi pengacara televisyen, yang melonjakkan namanya dalam kalangan rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat