Bekas Presiden Korea Selatan Kembali Ditahan

SEOUL: Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, ditahan semula pada Khamis susulan tuduhan pemberontakan berkaitan tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember tahun lepas.

“Suk Yeol sebelum ini mencetuskan krisis politik dengan menghantar tentera bersenjata ke parlimen pada 3 Disember dalam cubaan menghalang penggubal undang-undang daripada membatalkan pengisytiharan tersebut.” menurut satu kenyataan.

Beliau merupakan presiden pertama Korea Selatan yang ditahan semasa masih memegang jawatan, selepas ditangkap dalam serbuan awal pagi pada Januari lalu, namun dibebaskan atas alasan prosedur pada Mac.

Selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya pada April, Suk Yeol enggan bekerjasama dengan siasatan, mendorong pihak pendakwa memohon waran tangkap baharu.

Hakim Mahkamah Daerah Pusat Seoul, Nam Se-jin, berkata penahanan semula dibuat kerana terdapat kebimbangan beliau akan memusnahkan bukti.

Suk Yeol kini ditahan di pusat tahanan berhampiran Seoul dan boleh ditahan sehingga 20 hari sementara pertuduhan disiapkan, termasuk dakwaan tambahan seperti pemalsuan dokumen rasmi.

Sepanjang perbicaraan selama tujuh jam pada Rabu, beliau menafikan semua tuduhan dan menyifatkan tindakannya sebagai keperluan untuk “membersihkan” elemen pro-Korea Utara dan “antinegara”.

Mahkamah Perlembagaan dalam keputusan terdahulu menyatakan tindakan beliau adalah “pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat” dan satu “penafian terhadap prinsip demokrasi.”

Pada Disember lalu, Korea Selatan digemparkan dengan pengisytiharan undang-undang tentera yang dibuat bekas presidennya itu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat