Bekas Setiausaha Politik Mat Sabu bebas 7 tuduhan kes rasuah

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membebaskan bekas Setiausaha Politik kepada Bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atas tujuh pertuduhan menerima dan meminta rasuah sejumlah RM6.48 juta untuk mendapatkan projek daripada syarikat kontarktor.

Peguam kepada tertuduh, Haijan Omar, mengesahkan keputusan berkenaan yang dibuat oleh Hakim, Rozina Ayub, Jumaat lalu.

“Saya mengesahkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membuat keputusan sedemikian dan anak guam saya lepas dari tujuh pertuduhan tersebut.

“Sebelum ini lima kes didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam, namun ketujuh-tujuh tuduhan itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tertuduh, Mohd Azhar Che Mat Dali, 53, sebelum ini dikenakan satu tuduhan meminta suapan sebanyak RM5 juta daripada Pengarah Urusan Syarikat FEHM Entity Sdn Bhd, Elias Jemadi Tajudin.

Suapan itu diminta sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapat projek senggaraan bagi peralatan risikan di Kementerian Pertahanan, yang dilakukan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 22 Julai 2019.

Selain itu, beberapa pertuduhan menggunakan alasan yang sama juga dikenakan terhadap Mohd Azhar, namun dibebaskan dari segala pertuduhan tersebut.

Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat