Bekas suami culas bayar nafkah anak-anak boleh dipenjara – Menteri

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Kerajaan kini tegas dalam memperketatkan tindakan terhadap bekas suami yang gagal membayar nafkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kegagalan bekas suami dalam menunaikan nafkah bukan sekadar pelanggaran undang-undang, sebaliknya membawa kesan langsung kepada kesejahteraan wanita dan anak-anak.

“Kerajaan Madani memandang serius isu kegagalan membayar nafkah kerana ia adalah pengabaian tanggungjawab yang menjejaskan kebajikan wanita dan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pertanyaan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Selasa bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Senator Norhasmimi yang bertanyakan langkah bersepadu yang telah diambil oleh Kerajaan dalam menyelesaikan isu nafkah bekas suami kepada bekas isteri walaupun telah mendapat perintah oleh Mahkamah Syariah.

Na’im menjelaskan, pihaknya kini mempertingkatkan penguatkuasaan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Selain itu katanya, antara langkah utama melibatkan pelaksanaan Saman Penghutang Penghakiman, yang mewajibkan bekas suami hadir ke mahkamah bagi penilaian kemampuan kewangan.

“Mahkamah boleh mengarahkan bayaran secara sekali gus, ansuran atau potongan gaji automatik di bawah undang-undang sedia ada,” ujarnya.

Justeru, bekas suami yang masih ingkar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 hari, bergantung kepada keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, Kerajaan turut memperkasakan penguatkuasaan melalui mekanisme hiwalah, iaitu sekatan akaun bank dan pindahan terus tunggakan nafkah kepada penerima, susulan pindaan undang-undang kewangan yang berkuat kuasa sejak Februari 2021.

“Akaun bank penghutang boleh dibekukan dan tunggakan dipindahkan terus kepada pemiutang bagi memastikan hak nafkah tidak tertangguh,” tambahnya.

Malah katanya, tindakan penyitaan serta penjualan harta turut digunakan apabila kerajaan juga sedang meneliti cadangan sekatan kredit dan senarai hitam penghutang tegar, tertakluk kepada penelitian undang-undang dan prinsip keadilan.

Untuk rekod, sebanyak 152 Kes Hiwalah telah direkodkan setakat 2021 hingga September 2025.

Ujarnya, JKSM merekodkan 152 kes hiwalah dan daripada jumlah itu, 26 kes selesai melalui pembekuan akaun bank dengan nilai keseluruhan sebanyak RM79,820.00 dipindahkan kepada penerima nafkah.

Sehubungan itu, Kerajaan Madani akan terus memperkukuh mekanisme sedia ada demi memastikan hak wanita dan anak-anak sentiasa terpelihara.

“Kami komited untuk memastikan kebajikan mereka dilindungi melalui tindakan tegas dan berkesan,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat