Bekas Tahanan SOSMA Terima Ijazah Sarjana UUM

SINTOK: Dalam detik penuh emosi dan kebanggaan, Mohd Razin Razali, 35, melakar sejarah peribadi apabila menerima ijazah Sarjana Sains Pengurusan (Mod Penyelidikan) dari Universiti Utara Malaysia (UUM), meskipun menyiapkan tesisnya dari balik tirai besi Penjara Alor Setar.

Bekas tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu menjalani tiga tahun sebagai tahanan reman sebelum dibebaskan pada 1 April lalu, selepas mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

“Saya mengikuti kuliah, menyiapkan tesis dan menjalani sesi viva dari dalam penjara dengan kekangan kemudahan termasuk ruang belajar terhad, tiada internet dan bahan bacaan minimum.

“Apabila diumumkan lulus viva, saya menitiskan air mata kerana ia satu kemenangan terhadap segala keterbatasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook UUM.

Mohd Razin menerima ijazah berkenaan di hadapan Pro-Canselor UUM, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, dalam Majlis Konvokesyen UUM Ke-38 yang berlangsung dari 9 hingga 13 November.

Lebih menyentuh hati, beliau mengakui bahawa ibunya menjadi sumber kekuatan utama sepanjang tempoh mencabar itu.

“Beliau tidak pernah putus memberi semangat dan mendoakan kejayaan saya.

“Kini saya bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, malah dibebaskan daripada penjara. Ini kemenangan berganda buat saya,” katanya lagi.

UUM turut menzahirkan penghargaan terhadap ketabahan dan semangat luar biasa Mohd Razin yang meneruskan pengajian walaupun berdepan kekangan sebagai tahanan.

Anda Mungkin Berminat