Bekas wartawan, Kriscy Limjoon penderma organ pertama di Sabah

Seorang bekas wartawan akhbar tempatan dan juga bekas guru bahasa Inggeris, menjadi penderma organ yang pertama di Sabah pada tahun ini selepas meninggal dunia akibat masalah perubatan.

Mendiang Kriscy Limjoon, 43, mendermakan sepasang mata atau kornea selepas pihak keluarganya memaklumkan hasrat mereka untuk menderma organ bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.

Prosedur pendermaan organ dan transplan kepada pesakit yang menerima organ mendiang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata hasil penilaian mendapati hanya mata yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga bersetuju meneruskan hasrat murni itu.

“Sepasang kornea yang didermakan juga telah berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua pesakit yang lain.

“Pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas, selain suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga tempatan. 

“Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah berbincang dengan keluarganya mengenai hasrat untuk menderma organ,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan ini.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” katanya.

Justeru itu, JKNS juga ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ supaya mudah untuk mereka memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat