Belanjawan 2025: MOSTI Cadang Peruntukan Lebih Besar Majukan R&D

Oleh: Syahirah Harish

PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap Belanjawan 2025 akan meningkatkan peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memperkukuh sektor inovasi negara.

Menteri MOSTI, Chang Lih Kang menegaskan langkah itu penting untuk memastikan Malaysia mencapai kedudukan 30 teratas dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.

“Pada tahun 2024, Malaysia berada di tangga ke-33 dalam GII, meningkat tiga anak tangga daripada tahun sebelumnya.

“Peningkatan ini menunjukkan kemajuan dalam sektor inovasi, namun perlu ada usaha tambahan untuk mengekalkan momentum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

MOSTI juga menekankan perlunya peningkatan pelaburan dalam R&D, khususnya dari sektor swasta.

Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) Malaysia kini hanya mencatatkan kadar satu peratus yang jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju lain.

Lih Kang turut berharap Belanjawan 2025 akan menyediakan insentif untuk menarik lebih banyak pelaburan dari pihak swasta yang dianggap penting dalam memacu kemajuan inovasi di Malaysia.

“MOSTI juga komited untuk mempromosikan sains kepada generasi muda, terutama sekali di peringkat sekolah rendah.

“Kanak-kanak adalah masa depan kita dan mereka perlu didedahkan kepada kepentingan sains dan teknologi sejak awal lagi.

“Dengan memberi inspirasi kepada mereka, kita mampu melahirkan lebih ramai inovator dan saintis yang akan membawa Malaysia lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.

Dalam usaha menyokong ekosistem inovasi, Lih Kang menekankan pentingnya memperkukuh syarikat pemula (startups) dalam bidang teknologi.

Jelasnya, syarikat-syarikat itu merupakan penggerak utama kepada inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Beliau percaya bahawa dengan sokongan kerajaan yang berterusan, Malaysia mampu menjadi hab inovasi dan teknologi serantau yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam jangka panjang, pelaburan dalam R&D dan pemupukan generasi muda akan membantu membina ekosistem inovasi yang kukuh serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sebelum ini, dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM510 juta dana R&D di bawah MOSTI serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Antara pengkhususan suntikan dana adalah seperti, RM50 juta untuk geran universiti awam dan sektor swasta dan RM76 juta sebagai dana sokongan pengkomersialan produk hasil ciptaan perusahaan perniagaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta jabatan dan agensi kerajaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat