Oleh: Haikal Tajuddin
PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM360 juta berbanding RM338 juta pada tahun 2024.
Dengan peruntukan tersebut, kerajaan telah memberi kebebasan sepenuhnya untuk SPRM menyiasat dan mengambil tindakan tegas kepada pesalah.
“Tindakan ini adalah untuk mengheret pesalah ke rasuah ke muka pengadilan.
“Ia sejajar dengan angka peningkatan yang lebih 20 peratus penangkapan dan pembukaan kertas siasatan untuk tahun 2023 ketimbang sebelumnya,” jelasnya ketika berucap di dalam Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, Strategi pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) telah digubal untuk menghapus segala bentuk rasuah melalui strategi ampuh dan terperinci.
Belanjawan 2025 memberi fokus kepada tiga aspek iaitu “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat”.
Ini adalah belanjawan ketiga oleh Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 yang bakal dibentangkan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula Isnin ini (21 Oktober) sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 November.
Berdasarkan Takwim Persidangan Dewan Rakyat, Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan Rang Undang-Undang itu di peringkat Jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 November.