Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Kerajaan memperuntukan RM421 bilion dalam Belanjawan 2025 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Ketiga, sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata, daripada jumlah tersebut, RM335 bilion adalah untuk belanja mengurus, RM86 bilion untuk belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.
“Selain peruntukan pembangunan oleh Kerajaan, projek secara usaha sama awam-swasta (PFI) bernilai RM9 bilion turut dilaksanakan serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat GLIC bernilai RM25 bilion.
“Ini menjadikan pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 yang berjumlah RM120 bilion,” kata Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2025) di Dewan Rakyat hari ini.
Dengan tema ‘Ekonomi Madani Negara Makmur, Rakyat Sejahtera,” ia adalah belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.