Belanjawan 2025: RM7.5 bilion perkasa TVET, revolusi pendidikan belia

Oleh: Haikal Tajuddin

PARLIMEN: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) bakal menerima peruntukan sebanyak RM7.5 bilion bagi memperkasakan program tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa peruntukan itu akan diberi keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dengan industri bagi menyediakan peluang latihan kepada belia rentas termasuk kelompok miskin dan membawa khidmat TVET bagi manfaat masyarakat.

Kerajaan turut mengalu-alukan kerjasama PROTON melalui PROTON Advanced Automotive Technology Institute di Melaka bagi menyumbang kepada kurikulum, bantuan tenaga pengajar serta keperluan latihan.

“Bagi menggalakkan kerjasama seumpama itu, geran padanan RM50 juta disediakan untuk lebih banyak industri mengikuti program ‘Anak Angkat ILKA’.

“Majikan juga akan diberi kebenaran untuk menggunakan 50 peratus daripada dana HRDCorp ketimbang 30 peratus bagi tujuan untuk membiayai kemudahan latihan kemahiran termasuk kos peralatan dan ubah suai fasiliti latihan,” kata Anwar.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM1.2 bilion akan disediakan kepada 77,000 pelajar yang mengikuti kolej vokasional dan sekolah menengah teknik.

Pihak pelatih bakal menerima RM100 juta khusus untuk bidang keutamaan NIMP seperti MRO, EV, aeroangkasa dan teknologi buatan (AI).

“Peruntukan ini akan disediakan oleh pihak PTPK kepada lebih 20,000 pelatih,” jelas beliau.

Anda Mungkin Berminat