Belanjawan 2025: Kerajaan bina 2 sekolah autisme baru

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN: Dalam Belanjawan 2025, kerajaan akan memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak autistik berada pada tahap terbaik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dua sekolah baharu untuk murid berkeperluan khas akan dibina di Tuaran, Sabah dan Johor Bahru dengan kos RM300 juta.

“Sekolah di Johor Bahru bakal menjadi sekolah pertama yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan untuk autistik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Selain itu, katanya, 11 Pusat PERMATA baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik, termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Anwar juga mengumumkan, elaun Murid Berkeperluan Khas sebanyak RM150 sebulan akan terus disediakan kepada lebih 110, 000 murid OKU termasuk murid autisme, melibatkan peruntukan RM200 juta.

“Bantuan yuran pembelajaran anak autisme disediakan bagi meringankan tanggungan ibu bapa yang layak dan ini bakal memanfaatkan 30,000 anak autisme dengan dana RM15 juta.

“Bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selesa dan terangkum, RM10 juta disediakan untuk membantu sekolah autistik swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan melengkapkan kemudahan pembelajaran,” katanya.

Tambahnya lagi, sebuah Pusat Perkhidmatan Autisme akan dibangunkan bagi memanfaatkan komuniti autisme dengan peruntukan RM5 juta.

Berita gembira buat ibu bapa yang mempunyai anak autisme apabila had pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan dan pemulihan anak autisme akan ditingkatkan kepada RM6,000 berbanding RM4,000.

Anda Mungkin Berminat