Belanjawan 2025: Terengganu Harap Peruntukan Adil

Oleh: Hanim Nadia

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap Belanjawan 2025 dapat memberi peruntukan lebih adil kepada semua negeri.

Ahmad Samsuri berkata, pengagihan hasil negara harus seimbang dan diberi keutamaan kepada negeri yang memerlukan peruntukan lebih akibat daripada jurang atau ketidakseimbangan pembangunan.

“Kita berharap kerajaan pusat lihat apa sebenarnya yang berlaku dalam negara kita, kepada rakyat, kepada negeri-negeri dan keadilan bukan sekadar diucapkan tetapi hendaklah ditegakkan.

“Saya berharap tidak ada tindakan drastik seperti cukai-cukai baharu yang boleh menekan rakyat memandangkan mereka sudah terbeban dengan kos sara hidup dan sebagainya,” katanya dalam satu video sidang media pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 iaitu belanjawan ketiga di bawah Kerajaan Perpaduan pada 18 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Belanjawan 2025 mengetengahkan tema Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera akan dipacu oleh pendekatan Ekonomi MADANI.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, negeri-negeri pembangkang juga tidak seharusnya dipinggirkan selain dinafikan hak dalam mendapatkan peruntukan secara adil.

Beliau menyatakan mana-mana negeri tidak kira pembangkang atau sebaliknya merupakan negeri yang membentuk satu persekutuan dinamakan sebagai Malaysia.

“Hasil kerja kuat negeri-negeri dari segi perkhidmatan dan sebagainya turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Jadi kalau ada negeri-negeri yang tidak mendapat keadilan yang sewajarnya maka sudah tentu ia memberi kesan kepada KDNK dan pencapaian negara kita,” katanya.

Anda Mungkin Berminat