Belanjawan 2026: 22 Juta Rakyat Terima RM100 SARA Februari Depan

PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menyalurkan RM100 Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pada pertengahan Februari 2026, sebagai sebahagian daripada langkah membantu rakyat membuat persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, inisiatif tersebut akan melibatkan peruntukan RM15 bilion, yang dibiayai hasil penjimatan melalui penyasaran subsidi diesel dan RON95.

“Sukacita saya umumkan, kerajaan sekali lagi akan memberi RM100 SARA kepada 22 juta rakyat Malaysia 18 tahun ke atas. Ini akan disalur pada pertengahan Februari yang boleh dimanfaat untuk persiapan Ramadan dan sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa program SARA bukan sekadar pemberian tunai semata-mata, sebaliknya mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan hasil negara disalur semula kepada rakyat tanpa menambah beban cukai.

Sebelum ini, pada 31 Ogos lalu, semua rakyat berusia 18 tahun ke atas turut menerima RM100 SARA Penghargaan, dan lebih 70 peratus daripada jumlah itu telah dibelanjakan oleh penerima. Anwar menjelaskan bahawa baki SARA yang tidak digunakan menjelang Disember ini akan diagih semula kepada program rakyat susah, selaras dengan janji kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, peningkatan jumlah keseluruhan STR dan SARA 2026 kepada RM15 bilion merupakan hasil langsung daripada keberkesanan dasar tatakelola baik dan penyasaran subsidi yang kini menjimatkan perbelanjaan negara.

“Kerajaan memilih untuk membaiki tatakelola, bukan menambah cukai. Melalui pembanterasan rasuah, kawalan penyeludupan dan pemecahan kartel, kita telah memulihkan hasil negara tanpa menekan rakyat,” tegas Anwar.

Pada masa sama, kerajaan turut memperkukuh keupayaan badan penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, KPDN, JKDM dan MyCC dengan peruntukan lebih RM700 juta, bagi memastikan hasil negara terus dilindungi dan ketirisan dapat dibendung secara berkesan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat